Waspada ‘scammer’ bagi botol air percuma untuk dapat maklumat bank

Oleh – Syeikh Baran


Waspada ‘scammer’ bagi botol air percuma untuk dapat maklumat bank
Gambar Hiasan

Beri botol air percuma dari rumah ke rumah yang mempunyai kod pengimbas QR dipercayai merupakan taktik baharu penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, menerusi video tular baru baru ini memaparkan hadiah berupa botol air yang diagihkan kononnya akan membolehkan orang ramai memenangi kupon tunai bernilai RM200.



“Hakikatnya apabila diimbas, mangsa akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan yang kemudiannya akan mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun banknya.

“Diingatkan, ini merupakan satu cubaan penipuan melalui kaedah phishing dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengimbas kod QR yang diberikan,” katanya pada sidang akhbar di menara KPJ, di sini, hari ini.

Tegasnya, setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima, namun taktik ini harus dihebahkan kepada setiap lapisan masyarakat sebagai informasi dan langkah pencegahan.

Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata penipuan sistem pesanan ringkas (SMS) melalui mesej pautan dikesan kembali aktif dengan 18 kes dilaporkan babit kerugian RM229,868 tahun ini sejak 1 Januari hingga 17 April lalu.

Menurut beliau, statistik mendapati mangsa dilaporkan menerima SMS kononnya daripada syarikat telekomunikasi terkenal seperti Maxis, Celcom dan Digi.



Katanya, kandungan SMS tersebut menyatakan mangsa mempunyai mata ganjaran yang bakal tamat tempoh dan digesa untuk segera menebus mata ganjaran tersebut melalui pautan yang disertakan.

“Mangsa yang menekan pautan tersebut akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan atas talian milik mereka termasuklah nombor OTP yang diterima.

“Mangsa kemudiannya akan mendapati wang daripada akaun bank mereka berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai diingat jangan mudah terperdaya.



Sehubungan itu, beliau menegaskan untuk dapatkan pengesahan daripada syarikat telekomunikasi yang berkaitan sekiranya menerima SMS yang meragukan serta usah sesekali berkongsi maklumat perbankan serta nombor OTP dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali.

Sumber – KOSMO! ONLINE.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading