300 pasangan Malaysia nikah di Songkla tiap bulan

Oleh – Syeikh Baran


300 pasangan Malaysia nikah di Songkla tiap bulan
Ahmad Fahmi berucap ketika Majlis Perasmian Hari Melayu Ke-9 di Sanam Chang Phueak Park, wilayah Yala pada kelmarin.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand memaklumkan pihaknya mengesahkan antara 250 hingga 300 pasangan yang bernikah di sekitar wilayah selatan Thailand pada setiap bulan.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, jumlah tersebut termasuk pasangan yang bernikah di wilayah Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun.



“Terdapat pelbagai sebab pasangan ini melangsungkan perkahwinan di selatan Thai termasuk tujuan berpoligami selain ada berkahwin buat kali pertama dengan pasangan warganegara Thailand itu sendiri.
 

“Boleh dikatakan nisbah 60:40 berkahwin di Thailand untuk poligami manakala selebihnya ada yang berkahwin atas sebab lain seperti pernikahan kali pertama dengan pasangan warga Thailand itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Melayu Ke-9 di wilayah Yala, di sini kelmarin.

Terdahulu beliau bersama Menteri Keadilan Thailand, Thawee Sodsong dan Konsul Jeneral Indonesia di Songkhla, Suargana Pringganu merasmikan sambutan Hari Melayu Ke-9 yang diadakan di wilayah itu.

Menurut Ahmad Fahmi, pelbagai sebab dikesan mengapa ramai pasangan termasuk dari Malaysia membuat keputusan untuk berkahwin di Thailand.

“Antara sebab mereka berkahwin di selatan Thailand ini adalah kerana ada di antaranya mendapat tentangan keluarga, tidak mendapat persetujuan isteri pertama dan lain-lain lagi.



“Walau apapun masalah yang berlaku, saya menyarankan agar pasangan yang berkahwin di negara ini (Thailand) agar pulang dan mendaftarkan pernikahan mereka dengan pejabat agama di negeri masing-masing,” ujarnya.

Jelasnya, pendaftaran pernikahan di Malaysia sangat penting kerana tidak mahu pelbagai masalah berkait pernikahan tersebut timbul pada kemudian hari seperti status anak tanpa negara, pewarisan harta dan masalah wali untuk bernikah apabila anak tersebut sudah dewasa nanti.

Sumber – KOSMO! ONLINE.




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading