PEMAIN Inter Milan meraikan kejayaan pasukan bergelar juara Serie A buat kali ke 20 dalam sejarah. – AFPMILAN – Inter Milan memilih cara yang lebih istimewa untuk menoktahkan kejuaraan Serie A apabila menumpaskan musuh setempat AC Milan 2-1 di San Siro, awal pagi tadi.
Kejayaan ini memberikan makna besar buat Inter Milan dan penyerangnya, Lautaro Martinez mengakui dirinya hampir menitiskan air mata sejurus berjaya memastikan kejuaraan kali ke-20 pada aksi derbi Milan.
Martinez yang kini sedang memimpin senarai penjaring terbanyak Serie A dengan 23 gol begitu terharu kerana ini adalah julung kali dia menikmati kejuaraan sebagai ketua pasukan Inter Milan yang pastinya memberikan perasaan berbeza berbanding ketika bergelar juara pada 2021.
“Saya hampir menangis kerana kami sudah pun bekerja keras, harungi kesukaran dan kami sebenarnya berhak untuk mendapat kegembiraan ini. Saya dedikasikan kejayaan ini kepada keluarga saya di Argentina, anak-anak saya, rakan sepasukan dan semua penyokong pasukan.
“Saya beritahu pemain yang kami berada dalam situasi yang tidak pernah berlaku lagi. Kami perlu memanfaatkan peluang untuk mengesahkan kejuaraan di venue ini,” katanya.
Kedua-dua jaringan Inter Milan dihasilkan oleh Francesco Acerbi and Marcus Thuram manakala Fikayo Tomori menjaringkan gol tunggal AC Milan.
Saingan Serie A musim ini masih berbaki lima perlawanan lagi namun kutipan 86 mata sudah cukup untuk mengesahkan kejuaaan buat Inter Milan sekaligus mengetepikan cabaran AC Milan dan Juventus.
PENYOKONG Inter Milan terus berpesta untuk meraikan kejayaan pasukan bergelar juara saingan Serie A musim ini. – AFPKetua Pegawai Eksekutif Inter Milan, Giuseppe Marotta mengesahkan pihaknya kini sedang berbincang untuk memberikan lanjutan kontrak lima tahun lagi buat Martinez.
“Tidak ada masalah untuk memberikan lanjutan kontrak kerana dia menunjukkan kesetiaan selepas memenangi trofi ketujuh bersama Inter Milan. – AGENSI