Keputusan rayuan Siti Bainun ditangguhkan

Oleh – Syeikh Baran


Keputusan rayuan Siti Bainun ditangguhkan
Siti Bainun (dua dari kiri) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada 7 Mac lalu.

Keputusan rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berhubung kes mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella di Mahkamah Tinggi di sini, ditangguhkan ke 2 Mei depan.

Peguam, Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun, 32, selaku perayu berkata, tarikh baharu itu dimaklumkan oleh mahkamah menerusi e-mel pada 22 April lepas.



“Keputusan rayuan pada hari ini, telah ditangguhkan ke bulan depan, pada 9.30 pagi,” katanya ketika dihubungi media pada Rabu.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan 24 April untuk keputusan rayuan Siti Bainun terhadap sabitan bersalah, bagi dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun tersebut.

Hakim, Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili wanita itu selaku perayu dan pihak pendakwaan yang hadir sebagai responden.

Selain Haijan Omar, perayu turut diwakili peguam, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan sementara responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria.



Pada 3 Mei tahun lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 23 Mei tahun sama, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.



Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Sumber – SINAR HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading