Gagal serah premis Giant Batu Caves, TF Value-Mart ambil tindakan undang-undang

Oleh – Syeikh Baran


Gagal serah premis Giant Batu Caves, TF Value-Mart ambil tindakan undang-undang
Gambar Hiasan

Pengendali pasar raya besar, TF Value-Mart, mengambil tindakan undang-undang ke atas GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail) kerana gagal menyerahkan premis Giant Batu Caves, Selangor.

Menurut TF Value-Mart, pengendali jenama Pasar Raya Besar Giant itu gagal mematuhi perintah mahkamah untuk menyerahkan premis itu yang terletak di Lot 10243, Mukim Batu dengan keluasan 180,000 kaki persegi.



“Sebelum ini, TF Value-Mart menandatangani satu perjanjian sewa dengan pemilik hartanah, Crystal Promenade Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai H Land Development Sdn Bhd) pada 2023.

“Ia untuk mengambil alih penyewaan premis terbabit apabila tempoh sewaan GCH Retail tamat pada 31 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, walaupun perjanjian sewaan sudah tamat, GCH Retail gagal untuk mengosongkan premis terbabit pada tarikh yang ditetapkan.

“Malah, pihak terbabit memfailkan saman ke atas Crystal Promenade Sdn Bhd atas dakwaan melanggar kontrak dan mengganggu operasinya.



“Crystal Promenade dalam tuntutan balas memperoleh ringkasan penghakiman yang berpihak kepadanya sekali gus mengesahkan tarikh tamat tempoh perjanjian sewa dan ketiadaan sebarang pilihan untuk GCH Retail melanjutkan sewaan selepas 31 Januari 2024.

“Ringkasan penghakiman itu selanjutnya menetapkan bahawa GCH Retail diwajibkan untuk meyerahkan premis yang kosong kepada pemilik hartanah mengikut terma termaktub di dalam perjanjian awal,” katanya.

Walaupun ringkasan penghakiman tidak berpihak kepadanya, katanya, GCH Retail terus menghuni premis terbabit sekali gus mendorong TF Value-Mart untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Ia bagi melindungi kepentingan perniagaan kami yang bercadang untuk memulakan operasi di Batu Caves pada 1 Februari lalu.



“Sejak 2016 hingga 2021, TF Value-Mart berjaya mengambil-alih sembilan pasar raya besar daripada GCH Retail ketika DFI Retail Group memutuskan untuk tidak memperbaharui sewaan.

“DFI Retail Group menjual GCH Retail kepada sebuah syarikat tempatan yang dikenali sebagai Macrovalue Sdn Bhd pada 2023,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button