Kes tembak, 4 individu dirakam keterangan

Oleh – Syeikh Baran


Gambar Hiasan

Polis Kelantan sudah mengambil keterangan empat individu bagi membantu siasatan kes tembak di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, Sabtu lalu.



Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, individu itu bukan suspek, sebaliknya mereka yang boleh membantu siasatan dan mungkin tahu rentetan kes yang membawa kepada tembakan.

Menurutnya, pihaknya akan memanggil beberapa lagi individu untuk melengkapkan siasatan.

“Motif kejadian sudah dapat dan ia lebih memudahkan kami dalam tentukan hala tuju siasatan selepas keterangan beberapa individu diambil.

“Bagaimanapun mungkin ada juga konflik lain, namun selepas tangkapan dibuat, selain siasatan mendalam yang dilakukan, kita akan dapat mengetahui perkara yang sebenar,” katanya yang ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 Bersama Warga PDRM Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.



Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Raja Perempuan Tengku Anis berkenan mencemar duli menghadiri majlis itu.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, pihaknya yakin suspek masih berada di Kelantan berdasarkan risikan dan usaha mengesan suspek masih giat dijalankan.

“Saya rasa lebih baik mereka datang menyerah diri. Jika mereka berada di negara jiran, kita akan bekerjasama dengan polis Thailand untuk bertukar maklumat bagi mengesan keberadaan suspek,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button