Isu kasino: Wartawan Bloomberg selesai dirakam keterangan

Oleh – Syeikh Baran


Isu kasino: Wartawan Bloomberg selesai dirakam keterangan
Ram (kanan) selepas selesai dirakam keterangan di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Wartawan Bloomberg, Ram Anand yang dipanggil ke Bukit Aman hari ini berhubung artikel perancangan pembinaan kasino di Forest City, Johor, selesai dirakam keterangan.

Ram dilihat keluar bersama peguam selepas selesai dirakam keterangan berhubung isu itu kira-kira jam 11 pagi tadi, namun enggan ditemu bual.



Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan petugas media terbabit hadir memberi keterangan pada jam 8.30 pagi, diawalkan berbanding waktu asal yang ditetapkan pada jam 11 pagi.

“Proses rakaman keterangan masih berlangsung di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada Jumaat lalu, Razarudin memaklumkan siasatan dijalankan susulan satu laporan yang dibuat peguam ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah bertajuk ‘Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg’.

Siasatan dilakukan selepas artikel itu didakwa mengandungi pernyataan palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.



Justeru, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Terdahulu, beberapa pihak menggesa kerajaan supaya menyaman dua agensi media asing berhubung laporan penerbitan artikel berniat jahat mengenai perancangan pembangunan kasino di Forest City.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg berhubung perancangan pembinaan kasino di Forest City.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button