Syed Saddiq fail permohonan semakan kehakiman, dakwa kerajaan hentikan dana Parlimen Muar

Oleh – Syeikh Baran


Syed Saddiq fail permohonan semakan kehakiman, dakwa kerajaan hentikan dana Parlimen Muar
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung dakwaan kerajaan menghentikan peruntukan dana lebih RM4 juta bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasannya.

Permohonan itu difailkan Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bersama tiga pengundi di Parlimen itu terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi, pada 23 April lalu.



Tiga pengundi itu ialah Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri.

Syed Saddiq berkata, dana itu dibatalkan selepas MUDA menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Objektif semakan kehakiman ini jelas iaitu menoktahkan politik balas dendam dan memastikan mereka yang terkesan akan mendapat haknya semula.

“Peruntukan Parlimen untuk orang susah, bantuan kebajikan, naik taraf dan baik pulih sekolah. Contohnya untuk pastikan orang tua dapat kerusi roda, lampin dan susu formula.



“Mereka paling teruk terkesan apabila bantuan disalurkan mengikut warna politik dan kawasan (Parlimen diwakili pihak) kerajaan atau pembangkang,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini selepas pengurusan kes berkenaan hari ini.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, ketika dihubungi media mengesahkan akan membantah permohonan itu.

Syed Saddiq mendakwa mengeluarkan dana sendiri untuk membantu rakyat sekali gus tidak meninggalkan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen walaupun dinafikan peruntukan kerajaan.

“Kita membuat pelbagai siri meraih dana, berjumpa badan wakil kerajaan (NGO), wakil korporat dan mereka yang berpengaruh di Parlimen Muar untuk menggembleng tenaga memastikan bantuan disampaikan.



“Sebagai contoh, kita berjaya mengagihkan lebih 2,500 laptop dan tablet berkualiti, tidak datang daripada bantuan peruntukan Parlimen tetapi dari rakyat Malaysia yang ikhlas membantu rakyat Muar,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button