KPKM pandang serius siasatan 3 pegawai kanan KADA berkaitan rasuah

Oleh – Syeikh Baran


KPKM pandang serius siasatan 3 pegawai kanan KADA berkaitan rasuah
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius siasatan terhadap tiga pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) termasuk seorang pengurus besar. – Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius siasatan terhadap tiga pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) termasuk seorang pengurus besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPKM berkata ia bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab supaya siasatan kes berkenaan dapat dijalankan dengan adil dan telus.



“KPKM mengambil maklum berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai kanan termasuk seorang pengurus besar di KADA.

“Pada masa yang sama, KPKM sentiasa komited dalam usaha-usaha pencegahan rasuah dan meletakkan keutamaan terhadap tahap integriti yang tinggi dalam kalangan pegawai dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana perlakuan rasuah serta amalan tidak berintegriti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiga pegawai kanan termasuk seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan ditahan SPRM semalam.

Mereka direman selama empat hari bermula hari ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah. Penahanan sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.



Seorang lagi pegawai kanan pula disambung reman selama tiga hari bermula esok sehingga Khamis mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 selepas disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.

KPKM berkata usaha berterusan sentiasa diambil pihaknya dalam membanteras sebarang bentuk salah guna kuasa, konflik kepentingan, gejala rasuah dan penyelewengan melalui penambahbaikan arahan dalaman membabitkan pelbagai gerak kerja jabatan dan agensi di bawah KPKM.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button