ADUN pastikan tiada ketua isi rumah miskin tegar 2026 di Johor

Oleh – Syeikh Baran


ADUN pastikan tiada ketua isi rumah miskin tegar 2026 di Johor
TUNKU Mahkota Ismail berkenan menyempurnakan upacara Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) galas tanggungjawab membasmi golongan miskin tegar di seluruh Johor menjelang tahun 2026.

Sehubungan itu, baginda bertitah agar wakil rakyat negeri ini memainkan peranan proaktif dalam memastikan hasrat itu terlaksana di kawasan masing-masing.



“Saya titah agar tiada seorang pun ketua isi rumah (KIR) rakyat Johor yang tergolong dalam golongan miskin tegar selepas tamat tahun 2025.

“Semua pihak mempunyai tempoh 19 bulan untuk mencari, mengenalpasti dan memberikan bantuan sewajarnya menerusi program kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyantuni mereka,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berucap menyempurnakan Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua penduduk negeri ini mendapat akses kepada keperluan asas melibatkan bantuan kerajaan, infrastruktur lengkap, pendidikan inklusif dan juga penjagaan kesihatan berkualiti.



“Menjadi keutamaan saya untuk memastikan setiap rakyat Johor mempunyai makanan, tempat tinggal, mendapat pendidikan dan penjagaan kesihatan. Saya juga faham keresahan rakyat dan ekonomi global khususnya melibatkan peningkatan kos sara hidup, kesukaran mendapat pekerjaan dan harga barangan tidak stabil.

“Itu adalah tanggungjawab setiap ADUN yang telah dilantik untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat di kawasan mereka, jangan lupakan tanggungjawab tersebut,” titahnya.

Sehubungan itu, baginda berharap setiap ADUN dan pemimpin politik di negeri ini dapat mengenepikan ideologi dan sentimen mereka demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Tahniah kepada semua ADUN Johor yang dilihat lebih matang dan profesional dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Walaupun mempunyai ideologi politik berbeza tetapi tidak menjejaskan perkembangan ekonomi Johor.



“Semua ADUN mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam negeri ini, saya tidak mahu ada ahli politik yang menyebarkan sentimen perpecahan dalam kalangan masyarakat, sebaliknya gunakan platform politik untuk menyatukan rakyat,” titahnya lanjut.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button