Pemergian Allahyarham Wahid satu kehilangan besar – Fauziah

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Fauziah Datuk Ahmad Daud menyifatkan pemergian Seniman Legenda, Allahyarham Wahid Satay, 93, yang menghembuskan nafas terakhir di Singapura, pagi ini sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni.

Biarpun tidak pernah bekerjasama sepanjang pembabitan dalam dunia lakonan, namun Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy mengagumi Wahid yang disifatkan sebagai pelakon yang mempunyai tanda dagang tersendiri.

“Saya gemar menonton hasil kerja arwah kerana sentiasa mempunyai sesuatu dalam setiap persembahannya.



“Arwah juga tahu bagaimana mahu mewarnai setiap watak yang diberikan. Bagi saya, arwah seorang pelakon yang memiliki karakter dan ‘trademark’ tersendiri.

“Pemergian arwah satu kehilangan yang besar kepada industri seni. Nampaknya kita kehilangan satu demi satu insan hebat dalam arena lakonan,” katanya kepada BH Online.

Pernah beberapa kali bertemu dengan arwah walaupun tidak pernah bekerjasama, Ogy turut menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat merendah diri.

“Saya tidak pernah bekerjasama dengan arwah, tetapi beberapa kali bertembung dengannya.



“Apa yang boleh dikatakan, arwah seorang yang sangat merendah diri, murah dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir.

“Senyumannya sentiasa terpahat dalam ingatan saya. Itulah sifat pelakon lama walaupun kualiti kerja tidak boleh dipertikaikan, namun tetap merendah diri,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Wahid meninggal dunia di kediaman anaknya di Teban Gardens Road, Singapura kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Wahid yang pernah digelar ‘Jerry Lewis of Malaya’ meninggalkan enam cahaya mata dan lebih 20 cucu.



Arwah menetap bersama anak keduanya, Hafizah Abdul Wahid selepas pemergian isterinya, Allahyarham Azimah Mohd Taib pada 1994.

Allahyarham pernah bekerja sebagai kelasi kapal yang merantau di seluruh dunia sejak usia 16 tahun, sebelum menceburi bidang lakonan.

Kerjaya lakonannya bermula ketika bekerja di Studio Cathay-Keris Film Productions sebagai pembancuh cat sebelum ditawarkan menjadi pelakon tambahan dalam filem Pertaruhan sekitar 1940-an.

Menjadi sebahagian sejarah kegemilangan filem Melayu klasik antara era 1950-an hingga 1960-an, Wahid atau nama sebenarnya, Abdul Wahid Ahmad mula mencipta kegemilangannya apabila beraksi dalam filem Pontianak arahan BN Roa bergandingan dengan Datuk Maria Menado pada 1957.



Filem Pontianak mencatat sejarah bukan hanya sebagai filem Melayu pertama ditayangkan di panggung Cathay, tetapi sambutannya luar biasa.

Membintangi lebih 60 filem termasuk Satay, Serangan Orang Minyak, Sumpah Pontianak, Rasa Sayang Eh, Pak Pandir Moden, Che Mamat Parang Tumpul, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Puteri Gunung Ledang, Seri Mersing dan banyak lagi,

Menerusi filem Che Mamat Parang Tumpul, Wahid menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia di Manila pada 1963.

Selain itu, kehebatan pelakon kelahiran kota Indragiri, Indonesia itu boleh meniru suara haiwan seperti ayam dan burung juga satu kelebihan suaranya sering kali digunakan sebagai latar belakang bagi filem tertentu.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button