Penjual ikan ditahan, miliki pil Erimin 5 seberat 77 kg

Kuala Lumpur: Penjual ikan yang dikesan aktif mengedar dadah sejak Januari lalu ditahan polis dalam Op Snakewood dan membawa kepada rampasan pil Erimin 5 seberat 77 kilogram (kg) serta pil ekstasi dianggarkan bernilai RM3.2 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya melancarkan tiga serbuan di sekitar Lembah Klang dalam operasi berkenaan bermula jam 8.20 malam pada 18 Mei lalu.

“Dalam serbuan pertama, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun di sebuah kondominium di Selayang sebelum pemeriksaan dilakukan terhadapnya menemui 10 bji pil ekstasi yang disembunyikan di dalam beg silang dipakai suspek.



“Susulan tangkapan itu, kami menjalankan serbuan kedua dan merampas pil ekstasi dan pil Erimin 5 dianggarkan seberat 20 kg yang ditemui di dalam bonet kereta Mercedes Benz dipercayai milik suspek di parkir di tempat letak kenderaan kondominium yang sama.

“Berpandukan suspek, kami menjalankan serbuan ketiga di sebuah banglo di Batu Caves, Selangor yang dipercayai dijadikan stor menyimpan pil Erimin 5 dengan penemuan sebanyak 57 kg pil berkenaan di kediaman itu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 77 kg pil erimin 5 dan 760 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM3.2 juta yang boleh menampung 250,000 penagih.

“Dalam operasi ini, kami juga menyita harta milik suspek membabitkan wang tunai berjumlah RM21,000, dua kereta Mercedes Benz dengan nilai semasa RM350,000 dan kereta Perodua Alza dianggarkan bernilai RM40,000.



“Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta adalah RM3.6 juta,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi kegiatan pengedaran dadah oleh suspek adalah mendapatkan bekalan dari luar negara dengan menjadikan kenderaan serta kediaman mewah sebagai stor simpanan sebelum diedarkan bagi pasaran Lembah Klang.

“Kita percaya suspek mula bergiat menjalankan kegiatan itu sejak Januari lalu disebabkan desakan hidup sebagai penjual ikan.

“Pada masa sama, kita sedang menyiasat rangkaian sindiket ini memandangkan suspek baru bermula dalam kegiatan itu, namun sudah mendapat bekalan yang banyak,” katanya.



Menurutnya, semakan dilakukan mendapati suspek terbabit tiada rekod jenayah, manakala hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap lelaki itu didapati positif dadah jenis amphetamin.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur akan terus mengekang aktiviti dadah dari terus berleluasa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah dan lain-lain jenayah boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak polis bagi mengekang kegiatan itu,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button