MUNICH – Gergasi Jerman, Bayern Munich dilaporkan bakal membuat bidaan ketiga bernilai €95 juta (RM473.69 juta) kepada Tottenham Hotspur yang dilihat usaha terakhir mereka untuk mendapatkan Harry Kane.
Bagaimanapun, Bayern dipercayai enggan mengambil risiko memandangkan ketua jurulatihnya, Thomas Tuchel mahukan penyerang England itu mengetuai jentera serangan pasukannya segera.
Menurut laporan akhbar Jerman, Bild, tawaran ketiga berkenaan mampu meyakinkan Pengerusi Spurs, Daniel Levy untuk ‘menyerah kalah’ dan akhirnya melepaskan kaptennya itu ke Munich.
Bild turut melaporkan bahawa Tuchel, 49, berharap urusan perpindahan tersebut dapat diselesaikan segera kerana mahu menurunkan Kane menentang RB Leipzig dalam aksi Piala Super Jerman di Allianz Arena pada 13 Ogos ini.
Bagaimanapun, Kane dijangka menandatangani kontrak lanjutan baharu bersama Spurs jika perpindahan tersebut gagal direalisasikan kerana mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada pembukaan saingan musim baharu.
Kane dikatakan tiada masalah untuk membantu pengurusnya, Ange Postecoglou membuka kempen Liga Perdana Inggeris dengan langkah kanan apabila menentang Brentford di Stadium Komuniti Gtech pada 13 Ogos ini.
Disebabkan itu, Bayern menganggap tawaran ketiga tersebut merupakan usaha terakhir untuk meyakinkan Spurs melepaskan Kane sebelum mencari alternatif lain dalam pasaran perpindahan yang akan ditutup pada 1 September depan. – AGENSI