Bekas olimpian negara perkuat skuad terjun
Bekas olimpian negara perkuat skuad terjun
BUKIT JALIL – Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memberi bayangan bahawa bekas olimpian negara bakal menerajui jawatan pengarah teknikal dan pengurus prestasi tinggi sukan terjun dengan harapan agar sukan itu kembali berada dalam landasan terbaik semula.
Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata, pihaknya kali ini membuka ruang kepada ‘tenaga’ tempatan untuk bersama-sama mereka bagi berada dalam program yang bakal diatur MAS nanti.
Kata Andy, pihaknya sudah menemu duga enam calon, lima daripadanya adalah bekas olimpian negara dan akan memuktamadkan keputusan tersebut pada hujung bulan ini.
“Kita sudah lakukan sesi temuduga hari ini dan lima daripadanya merupakan bekas olimpian negara. Ketika ini, keenam-enam calon itu dalam proses pemilihan dan keputusan tersebut akan diketahui pada hujung bulan ini.
“Empat calon yang kita terima adalah bagi jawatan pengarah teknikal dan dua lagi calon untuk pengurus prestasi tinggi. Menariknya, kesemua calon itu adalah orang tempatan.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Sudah Sampai Masanya Tindakan Di Ambil Ke Atas Pemimpin PAS Yang Ekstrim
- Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Keluar Parti
- Apa Yang UMNO Kelantan Buat Selama 3 Dekad?
“Kali ini kita berjuang untuk memberi peluang kepada orang tempatan bersama MAS. Sebab apa kita pilih calon ini kerana kita juga mempunyai kepakaran dan mereka juga adalah bekas olimpian. Jadi, kali ini kita cuba ‘lokal’ untuk bersama MAS.
“Antara sebab utama kita pilih orang tempatan kerana lebih mudah terutama dari segi bahasa, budaya dan juga lebih memahami atlet,” katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Jelas Andy, empat calon menjalani temu duga untuk jawatan pengarah teknikal terdiri daripada Datuk Leong Mun Yee, Bryan Nickson Lomas, Mohd. Azheem Bahari dan Khairul Safwan Mansur Manakala dua calon untuk mengisi tugas pengarah prestasi tinggi adalah Rossharisham Roslan dan Kelvin Chong.
Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Negara di Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt berkata, sasaran pingat ke Sukan Asia akan diumumkan selepas 22 Ogos ini.
“Kita akan adakan satu sesi bengkel pada 22 Ogos, selepas itu baru kita akan umumkan sasaran pingat,” katanya ketika ditemui di sini semalam. -KOSMO! ONLINE