Jiran terkejut, tidak pernah bau sesuatu

Oleh – Syed Baran


Jiran terkejut, tidak pernah bau sesuatu
Lokasi penemuan rangka di belakang rumah Fazdillah di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, semalam – Foto NSTP/Alias Abd Rani

“Sepanjang berada di rumah, kami tidak pernah terhidu bau busuk,” kata Fazdilah Md Meri, 51, penduduk Kampung Batu 7, Tongkang Pechah susulanĀ penemuan rangka tidak sempurna dalam rumah sewa terbiar, belakang rumahnya, petang semalam.

Lokasi penemuan rangka itu hanya beberapa meter di belakang rumah Fazdilah selepas seorang suspek dipercayai kenalan terdekat ibu tunggal yang dilaporkan hilang, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella dipandu arah bersama polis ke lokasi itu, jam 2 petang.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian itu selepas beberapa orang anggota polis datang ke rumahnya dan bertanyakan alamat.



“Saya memberikan alamat penuh kepada mereka (polis) tapi pada masa sama, saya pelik kenapa polis meminta alamat rumah saya.

“Saya bertanya dan polis memberitahu, ada jumpa rangka di rumah sewa terbiar belakang rumah saya. Waktu itu, saya terperanjat seperti tidak percaya mengenai berita disampaikan itu.

“Tidak lama kemudian, kehadiran polis semakin ramai, saya pun berfikir sebelum ini, tidak pernah terdengar orang bergaduh dan juga terhidu kurang menyenangkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sebelum itu, katanya, polis ada bertanya sama ada dia pernah terdengar berlaku pergaduhan di kawasan itu atau tidak sebelum ini.



Katanya lagi, dia melihat kenderaan polis mula memasuki kawasan itu pada jam 6 pagi namun mereka cuba bertanyakan apa tujuan ke rumah terbiar itu.

“Waktu itu, kami tidak tahu tujuan sebenar polis ke sana, tidak lama selepas itu, barulah kami tahu ada rangka ditemui di sana.

“Ini jalan mati dan biasanya digunakan untuk buat pusingan U jika terdapat sekatan jalan raya di hadapannya. Lagipun, kalau orang tidak dikenali masuk, anak saya akan bertanya apa tujuan mereka ke jalan belakang,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, polis ada bertanyakan padanya adakah terdapat kenderaan memasuki kawasan itu pada 15 Disember lalu.



Jelasnya lagi, mereka sekeluarga mengatakan tidak pernah melihat sesiapa datang atau menuju ke rumah terbiar itu.

“Sepanjang tempoh itu (15 Disember), kita memang tidak nampak benda mencurigakan walaupun rumah saya sentiasa ada penghuni.

“Tidak tahulah jika mereka masuk namun kami tidak menyedarinya. Kalau pun ada yang datang pada jam 11 malam ke atas, anak akan keluar bertanya mereka hendak ke mana,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat pada sidang media memaklumkan polis menemui rangka di rumah terbiar itu selepas dipandu seorang suspek.



Namun, rangka itu belum disahkan sama ada ia adalah Bella yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu kerana polis masih menunggu hasil analisis DNA.

Sumber – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button