Perlis cadang bangunkan tanah seluas 600 hektar hasil benih padi sendiri
10/12/2020 01:19 PM
KANGAR, 10 Dis — Kerajaan negeri bercadang membangunkan tanah seluas 600 hektar bagi menghasilkan benih padi sendiri, kata Exco Pertanian dan Asas Tani negeri Nurulhisham Yaakob.
Beliau berkata langkah tersebut diambil sebagai jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan benih padi di negeri itu.
“Kita memerlukan kira-kira 3,006 tan metrik benih padi untuk satu musim. Bagi tujuan tersebut kita perlukan 500 hingga 600 hektar sawah untuk hasilkan benih padi,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Nurulhisham (BN-Simpang Empat) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Tambun Tulang) mengenai tindakan kerajaan bagi menyelesaikan masalah benih padi yang sah di Perlis.
Beliau berkata sebagai langkah awal kerajaan negeri telah mula menyediakan 270 hektar ladang padi di Tambung Tulang dan Guar Sanji namun pengeluarannya masih belum mencapai tahap yang dikehendaki.
Nurulhisham berkata pihak kerajaan negeri juga meminta agar petani menyediakan benih padi sendiri sepertimana yang dilakukan pada masa lalu.
Beliau berkata baru-baru ini Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dilantik sebagai pemborong tunggal dalam program Insentif Benih Padi Sah (IBPS).
Beliau berharap langkah yang diambil oleh kerajaan pusat itu mampu menyelesaikan masalah krisis benih padi secara bersepadu.