Sabah cadang tingkatkan pengeluaran padi di Tambunan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang merangka langkah terbaik meningkatkan pengeluaran padi di Tambunan tahun hadapan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata usaha itu meliputi promosi penanaman berganda, peningkatan sistem pengairan dan pengenalan kepada kepelbagaian padi baharu.

“Pada masa ini, sebahagian besar pertanian padi sawah di Tambunan masih berorientasikan pertanian subsisten dengan hasil tahunan hanya sekitar 3.6 tan per hektar.

“Ia perlu ditingkatkan dan petani perlu belajar serta menerima kepelbagaian padi baharu yang boleh mengeluarkan hasil yang tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, ketika ini jumlah pesawah yang mengamalkan penanaman padi dua kali setahun tidak mencukupi disebabkan masalah seperti sistem pengairan yang kurang memuaskan.

Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata, daerah itu masih jauh ketinggalan terutama dari segi pembangunan.

“Tambunan memiliki potensi yang besar tidak hanya dalam industri pertanian tetapi juga pelancongan tempatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *