Trump ikrar laksana peralihan kuasa secara tertib
US President Donald Trump (Photo: Tia Dufour/White House /dpa)
MOSCOW, 7 Jan — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata akan menyerahkan kuasa secara tertib kepada bakal presiden Joe Biden pada 20 Januari nanti walaupun tidak bersetuju dengan keputusan pilihan raya dan mengakhiri penggal presiden yang ‘paling hebat’, lapor Agensi Berita Sputnik.
“Walaupun saya tidak bersetuju dengan keputusan pilihan raya, dan faktanya sukar untuk diterima, namun penyerahan kuasa yang tertib tetap berlangsung pada 20 Januari. Saya selalu mengatakan kami akan meneruskan perjuangan untuk memastikan hanya undi sah yang dikira.
“Meskipun ini penghujung penggal pertama terhebat dalam sejarah presiden, ia hanya permulaan perjuangan kita untuk Menjadikan Amerika Kembali Hebat !,” kata Trump seperti dipetik pembantunya Dan Scavino di Twitter.
Terdahulu, Kongres mengundi bagi memperaku kemenangan Biden pada pilihan raya presiden, beberapa jam selepas sesi bersama kedua-dua dewan tertangguh apabila penyokong Trump menyerbu bangunan Capitol AS.