Kombinasi muka baharu, lama dalam Majlis Tertinggi PBS
09/02/2021 10:21 PM
KOTA KINABALU, 9 Feb — Gabungan muka baharu dan lama dalam barisan pucuk pimpinan tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) membuktikan parti itu mengalu-alukan kehadiran pemimpin muda, kata Setiausaha Agung yang baru dilantik Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata penstrukturan semula kepimpinan parti baru-baru ini merupakan sebahagian daripada usaha Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk meremajakan parti dan tindakan itu seiring dengan langkah mempersiapkan pemimpin masa depan.
“Barisan kepimpinan yang baharu ini kukuh dan kami tidak hanya mengulangi suara presiden tetapi akan bekerja bersama secara konsisten,” katanya dalam kenyataan, selepas mengambil alih tugas secara rasmi daripada Datuk Jahid Jahim yang dilantik sebagai Timbalan Presiden parti, hari ini.
Pada 4 Jan lalu, Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan penstrukturan semula tersebut.
Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata pelantikan Hendrus Anding (Ahli Dewan Undangan Negeri Tandek) sebagai penolong beliau, dan Johnnybone Kurum (ADUN Telupid) sebagai Penolong Ketua Penerangan, menunjukkan PBS menerima perubahan tanpa mengetepikan pengalaman pemimpin lama.
Sementara itu, Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, meluahkan keyakinannya terhadap usaha Ongkili dalam menyusun semula pucuk pimpinan PBS.
“Kita semua ada misi dan harapan serta percaya tugas yang diamanahkan ini disertai tanggungjawab yang berat. Harapan presiden terhadap barisan kepimpinan baharu ini sangat tinggi. Justeru, kami akan bekerja keras untuk memenuhi harapan dan aspirasi presiden parti,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Penstrukturan semula itu turut menyaksikan pelantikan bekas Penolong Setiausaha Agung Datuk Julita Majungki sebagai Ketua Penerangan, Ahli Majlis Tertinggi Mursid Mohd Rais sebagai Naib Presiden dan Dr Samuil Mopun dilantik Ahli Majlis Tertinggi, sementara Stanis Buandi menjawat jawatan Setiausaha Penganjur PBS.
PBS sambut baik usaha Kementerian Dalam Negeri selesaikan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah