Juventus mara ke final Piala Itali
Turin, Itali: Juara bertahan Juventus menempah tiket final Piala Itali menentang Inter Milan bulan depan selepas menewaskan Fiorentina 2-0 pada separuh akhir kedua di Turin dan mara dengan kemenangan agregat 3-0.
Juventus kehilangan gelaran Serie A musim lalu kepada Inter Milan dan turut tewas kepada musuh ketat mereka itu pada Piala Super Itali, Januari lalu.
Menduduki tangga keempat Serie A, Juventus yang mahu mengelakkan musim tanpa trofi kali pertama sejak 2011 akan beraksi di Stadio Olimpico, Rom pada 11 Mei.
“Saya enggan meminta lebih daripada mereka kerana sejak empat bulan terakhir, ia adalah pemain sama sepanjang masa,” kata jurulatih Juve, Massimiliano Allegri.
“Mereka beraksi sepenuh hati. Barisan pertahanan yang agak rapuh sejak akhir-akhir ini kembali mempamerkan kemampuan sebenar.”
Bekas pemain sayap Fiorentina, Federico Bernardeschi meledak gol pembukaan selepas setengah jam perlawanan berlangsung dan Danilo melengkapkan kemenangan Juve sejurus sebelum tamat perlawanan.
Semalam, dua gol Lautaro Martinez membantu Inter Milan menewaskan AC Milan 3-0 selepas seri tanpa jaringan pada aksi peringkat pertama. Juara tujuh kali itu memburu trofi pertama mereka yang kali terakhir dimenangi pada 2011.
METRO