Enam keluarga tinggal sehelai sepinggang
Semporna: Enam keluarga membabitkan lebih 37 orang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bubul, dekat sini, tengah malam tadi.
Difahamkan, kebakaran 12.50 tengah malam tadi dipercayai bermula dari salah sebuah rumah di situ, sebelum merebak ke rumah ahli keluarga yang lain yang terletak berhampiran antara satu sama lain.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, Edoen Macheal berkata, dua jentera dengan kekuatan 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam pada 12.57 tengah malam.
Katanya, sebaik tiba di lokasi api sedang marak dan operasi memadam kebakaran dijalankan menggunakan sumber air dari jentera selain air perigi yang terdapat di kawasan berkenaan.
“Kebakaran membabitkan enam rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya, namun semua penghuninya yang mempunyai talian kekeluargaan berjaya menyelamatkan diri.
“Pasukan bomba mengalami kesukaran mendapatkan punca air berikutan pili bomba yang jauh selain tekanan yang rendah,” katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini.
Edeon berkata, operasi memadam kebakaran mengambil masa lebih 90 minit sebelum ditamatkan sepenuhnya jam 3.18 pagi.
Katanya, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.
METRO