Benzema layak menang Ballon d’Or – Messi
Buenos Aires: Penyerang Perancis yang mewakili Real Madrid, Karim Benezema layak menang anugerah Ballon d’Or, kata penerima anugerah itu sebanyak tujuh kali, Lionel Messi.
Benzema memainkan peranan penting membantu Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, musim ini, selepas menang 1-0 ke atas Liverpool di final di Paris, Sabtu lalu.
Walaupun tidak menjaringkan gol di final, dua jaringan hatrik Benzema di peringkat kalah mati termasuk dalam tempoh 17 minit ketika menentang Paris Saint-Germain, sekali gus mengubah defisit 0-1, cukup penting untuk memastikan gelaran menjadi milik gergasi Sepanyol itu.
“Tiada keraguan lagi, memang jelas Benzema memiliki tahun hebat dan berakhir dengan memenangi Liga Juara-Juara Eropah,” kata Messi kepada rangkaian televisyen Argentina, TyC Sports.
“Dia memainkan peranan penting di setiap perlawanan dan memang tidak disangsikan lagi bahawa Benzema layak menang Ballon d’Or.”
Messi berkata demikian beberapa hari menjelang perlawanan persahabatan menentang Itali di Stadium Wembley.
Pertarungan antara juara dua benua apabila Argentina memenangi America manakala Itali sebagai juara Eropah, turut dikenali sebagai ‘Finalissima’.
Namun, pada ketika Argentina layak ke Piala Dunia Qatar 2020 tahun ini ketika masih berbaki beberapa lagi perlawanan kelayakan, Itali gagal layak berikutan kecundang di tangan pasukan kerdil, Macedonia Utara di aksi play-off.
“Apa yang berlaku terhadap Itali adalah gila, selepas menang Piala Eropah, mereka tidak layak ke Piala Dunia, itulah cerita mereka,” katanya.
“Tetapi jika Itali layak ke Piala Dunia, sudah tentu mereka antara pasukan pilihan. Mereka tidak bernasib baik. Tiada pasukan mahu melawan mereka.”
METRO