Haaland julang Norway
OSLO: Erling Haaland meledak dua gol dan merancang untuk jaringan ketiga ketika Norway menewaskan Sweden 3-2 pada aksi Liga Negara-Negara dekat Stadium Ullevaal di Oslo awal pagi tadi.
“Saya tidak mampu berkata-kata!” jelas pemain berusia 21 tahun itu kepada televisyen Norway sebelum menambah: “Ini kali pertama saya bermain di depan penonton yang penuh dekat Ullevaal. Dan untuk menang menentang Sweden pada perlawanan terakhir musim ini sesuatu yang indah.”
Haaland, yang akan ke Manchester City dari Borussia Dortmund musim panas ini memberikan gol awal buat Norway pada minit ke-10 hasil tandukan selepas menerima hantaran lintang.
Dia menambah gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-54 selepas Hjalmar Ekdal mengasari Alexander Sorloth.
Ia adalah gol antarabangsa ke-20 Haaland dalam 18 penampilan bersama Norway.
Sweden membalas lapan minit kemudian apabila Emil Forsberg meledak hasil hantaran Dejan Kulusevski.
Haaland kemudian melintangkan bola buat Sorloth menanduk masuk dan mengekalkan kelebihan dua gol tuan rumah selepas 77 minit.
Kapten Sweden, Forsberg tidak gembira dengan gol dilepaskan pasukannya.
“Amat mudah melepasi kami,” katanya.
AFP