Dua lelaki ditahan serang penguat kuasa MBJB
Johor Bahru: Polis menahan dua lelaki yang disyaki menghalang tugas dan menyebabkan kecederaan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang mengeluarkan saman terhadap mereka, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi di Jalan Sutera, Taman Sentosa di sini, mangsa berusia 23 tahun cedera di kulit kepala akibat dipukul suspek menggunakan tangan dan ditolak jatuh ke jalan raya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika kejadian, anggota penguat kuasa itu mengeluarkan saman ke atas kenderaan suspek yang didapati diparkir dalam keadaan menghalang lalu lintas sebelum suspek yang tidak berpuas hati menyerang mangsa dan berlaku pergelutan.
“Selepas suspek memukul anggota penguat kuasa MBJB itu, kedua-dua mereka kemudian bertindak melarikan diri.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota kereta peronda polis yang tiba di lokasi kejadian berjaya menangkap kedua-dua suspek yang ketika itu sedang bersembunyi dalam kereta mereka kira-kira 500 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Raub berkata, ketika tangkapan dibuat, polis mendapati seorang daripada suspek cedera di bahagian muka dipercayai akibat bergelut dengan mangsa.
Katanya, suspek yang cedera itu menerima dua jahitan.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kedua-dua suspek yang juga rakan itu menyerang anggota penguat kuasa berkenaan adalah kerana tidak berpuas hati atas saman MBJB yang dikeluarkan kerana kesalahan menghalang lalu lintas,” jelasnya.
Menurut Raub, suspek warga tempatan yang berusia 42 dan 47 tahun itu akan direman bagi siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
METRO