Banjir terburuk di Seoul, ragut lapan nyawa



Seoul: Hujan lebat paling ekstrem dalam beberapa dekad menyebabkan banjir di ibu negara Korea Selatan, hingga menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang maut, manakala tujuh lagi hilang.

Mangsa maut akibat lemas dalam rumah mereka selepas sebahagian wilayah berkenaan dilimpahi air dan menyebabkan kereta tersadai di sungai, serta banjir di stesen kereta api bawah tanah.

Lebih 43 sentimeter hujan direkodkan di daerah Dongjak yang paling teruk dilanda hujan sejak Isnin hingga tengah hari semalam.

Taburan hujan di kawasan itu melebihi 14 sentimeter sejam pada malam Isnin lalu.



Untuk rekod, hujan lebat tertinggi setiap jam diukur di Seoul sejak 1942.

Kereta dan bas yang ditinggalkan berselerak di seberang jalan ketika air surut semalam.

Pekerja membersihkan pokok yang tumbang, lumpur dan serpihan, dengan jengkaut dan objek yang menghalang jalan rosak.

Amaran tanah runtuh dikeluarkan di hampir 50 bandar dan pekan serta 160 laluan mendaki di Seoul dan wilayah pergunungan Gangwon, ditutup.



Pasukan kecemasan bekerja semalaman untuk memulihkan kebanyakan perkhidmatan kereta api bawah tanah setakat pagi Selasa.

Tetapi laluan yang menghubungkan bandar di utara Seoul ditutup pada sebelah petang kerana hujan berterusan membanjiri beberapa stesen.

Puluhan jalan termasuk lebuh raya utama berhampiran Sungai Han yang melimpah ditutup kerana paras air meningkat.

Presiden Yoon Suk Yeol berkata, semua pihak perlu berjaga-jaga dan bergerak pantas dengan seluruh tenaga berikutan hujan lebat dijangka berterusan selama beberapa hari.



Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan, Moon Hong-sik berkata, pihaknya bersedia untuk mengerahkan tentera untuk membantu usaha pemulihan, jika diminta oleh bandar atau kerajaan wilayah.

Hampir 800 bangunan di Seoul dan bandar berdekatan rosak, dan sekurang-kurangnya 790 penduduk terpaksa berpindah dari rumah mereka, kata Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan.

Agensi cuaca negara itu mengekalkan amaran hujan lebat untuk Seoul dan kawasan berdekatan pada semalam dan meramalkan, hujan mungkin mencapai lima hingga 10 sentimeter sejam di beberapa kawasan.

Ia berkata, kira-kira 10 hingga 35 sentimeter hujan tambahan dijangka merentasi wilayah ibu negara hingga Khamis.



Ribut hujan turut melanda Korea Utara, di mana pihak berkuasa mengeluarkan amaran hujan lebat untuk bahagian selatan dan barat negara itu.

Akhbar rasmi Korea Utara, Rodong Sinmun menyifatkan hujan itu berpotensi membawa bencana dan menggesa langkah untuk melindungi tanah ladang dan mencegah banjir di Sungai Taedong, yang mengalir melalui ibu negara, Pyongyang.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker