Dortmund pilihan terakhir Ronaldo
LONDON: Borussia Dortmund boleh menawarkan Cristiano Ronaldo cara untuk keluar dari Manchester United, menurut satu laporan.
Ronaldo, 37, menyatakan kesediaan untuk keluar dari Old Trafford bulan lalu, kurang setahun selepas kembali ke kelab berkenaan.
Bos United, Erik ten Hag pada asalnya enggan melepaskannya tetapi sudah berubah hati dan kini bersedia jika ada tawaran sesuai.
Bayern Munich, Atletico Madrid, Barcelona, Sporting Lisbon, Chelsea, Inter Milan dan AC Milan semuanya dikaitkan dengan perpindahan pemain itu, tapi ia gagal dilaksanakan.
Bagaimanapun Borussia Dortmund kini menyatakan minat bagi mendapatkan tandatangan bintang Portugal itu.
Menurut CBS Sports, ejen Ronaldo, Jorge Mendes sedang cuba mendapatkan persetujuan yang boleh menyaksikan pemenang tujuh kali Ballon d’Or merasai pengalaman pertama di Bundesliga.
Dortmund kini dikatakan sedang mengadakan perbincangan dalaman bagi membincangkan cadangan itu dan Mendes diminta membuat tawaran.
Gergasi Jerman itu mahu mendapatkan seorang lagi penyerang selepas Sebastien Haller dijangka akan berehat beberapa bulan selepas disahkan menderita ketumbuhan pada alat sulitnya.
Sumber yang rapat dengan Ronaldo kini mendakwa bahawa perpindahan ke Borussia Dortmund akan menjadi “pilihan terakhir” sebelum jendela perpindahan ditutup bulan depan.
AGENSI