Chee Hoong juara Piala Boccia Dunia
KUALA LUMPUR: Atlet para negara, Lee Chee Hoong mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas dalam Piala Boccia Dunia yang berlangsung di Bahrain.
Di pentas final acara BC2 lelaki semalam, Chee Hoong menewaskan lawan dari Indonesia, Muhammad Bintang Satria Herlangga dengan keputusan 6-3 manakala Phakphum Linchum (Thailand) melengkapkan pentas podium di tempat ketiga.
Pada aksi peringkat Kumpulan D sebelum itu, Chee Hoong meletakkan dirinya di tempat kedua di belakang Bintang dengan satu kemenangan manakala atlet Iraq, Murtadha Al-Saedi di tempat ketiga.
Keputusan itu membolehkan Chee Hoong mara ke suku akhir dan menewaskan juara Kumpulan C dari Indonesia, Felix Ardi Yudha. Dia selepas itu menewaskan Linchum di separuh akhir dengan keputusan 4-1.
Untuk rekod, kemenangan Chee Hoong di Bahrain ini adalah emas kedua buat dirinya bagi tahun 2022 selepas meraih kilauan pingat sama di kejohanan Pencabar Boccia Dunia di Zagreb, Croatia, April lalu.
Pada ketika itu, Chee Hoong menewaskan atlet Belgium, Francis Rombouts dengan keputusan 5-1 untuk meraih emas manakala gangsa dimiliki Marcela Cermakova (Republik Czech).
Untuk rekod, Chee Hoong ketika ini berada di ranking ke-18 dunia dengan 29 mata dalam kategori BC2 individu. Atlet Brazil, Maciel Santos berada di ranking pertama bagi kategori berkenaan dengan 123.1 mata.
Atlet Thailand, Vongsa Watcharaphon pula berada di ranking kedua dengan 110.1 mata manakala Kurilak Rastislav (Slovakia) berada di ranking ketiga dengan mengumpul 85.2 mata.