Kos, sistem negara sumber punca hanya 68 peratus pekerja asing dibawa masuk
PUTRAJAYA: Faktor kos terpaksa ditanggung majikan untuk membawa masuk pekerja asing ialah antara punca hanya 68 peratus tenaga buruh itu daripada keseluruhan permohonan diluluskan, sudah berada dalam negara kini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata faktor peraturan dan kaedah dilaksanakan di negara sumber juga antara punca masih ada pekerja asing belum dapat dibawa masuk walaupun sudah mendapat kelulusan.
Beliau berkata, perkara itu adalah di luar kawalan Jabatan Imigresen berikutan pihaknya meluluskan 373,459 permohonan melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) sejak Januari hingga 4 Disember lalu, namun hanya 254,677 atau 68 peratus pekerja asing itu telah dibawa masuk oleh majikan yang memohon.
“Ini bermakna, majikan juga… walaupun selepas mendapat kelulusan, (tiada) keupayaan serta-merta untuk membawa masuk (semua pekerja asing yang diluluskan), dengan (faktor) tanggungan kos dan sebagainya.
“Di negara sumber pekerja asing itu, mereka juga ada beberapa sistem atau kaedah yang mesti dipenuhi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
BHOnline