Penagih dadah di AS meningkat lebih 2 kali ganda
WASHINGTON: Pengambilan dadah berlebihan membabitkan kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 18 tahun di Amerika Syarikat (AS) lebih dua kali ganda antara 2019 dan 2021, menurut satu kajian yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan.
Ia sekali gus memberi amaran mengenai risiko pengambilan pil tiruan yang mengandungi fentanyl.
Kadar purata bulanan pengambilan dadah berlebihan dalam kalangan remaja meningkat sebanyak 109 peratus antara 2019 dan 2021, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Dalam pada itu, jumlah dos berlebihan membabitkan fentanyl yang dikeluarkan secara tidak sah meningkat sebanyak 182 peratus.
Bagaimanapun menurut kajian itu, penggunaan dadah terlarang dalam kalangan remaja menurun secara keseluruhan dalam tempoh sama, menunjukkan peningkatan kematian mungkin disebabkan oleh dos lebih kuat berbanding penggunaan lebih kerap.
Fentanyl, opiat atau ubat penenang sintetik yang sangat kuat dan mengakibatkan ketagihan, mudah dihasilkan dengan kos rendah di makmal, dan ubat itu membanjiri pasaran Amerika sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut kajian itu, kira-kira satu perempat daripada dos berlebihan diambil remaja dikaitkan dengan pil tiruan, selalunya dijual di bawah nama Oxycodone, ubat penahan sakit atau Alprazolam, ubat kecemasan yang sering dikenali dengan jenama Xanax.
Peratusan itu mungkin dipandang rendah, kerana pil yang ditemui di tempat kejadian terlebih dos tidak selalunya diuji.
“Kebanjiran pil tiruan dalam kalangan remaja sangat membimbangkan memandangkan pemasaran yang ditujukan kepada populasi ini dan ketersediaan pil itu melalui media sosial.
“Sama ada remaja berhasrat untuk mengambil ubat farmaseutikal yang sah atau menyedari pil palsu adalah tidak jelas,” kata CDC.
Menurut laporan itu, sebanyak 1,808 penggunaan dadah berlebihan dalam kalangan remaja dilaporkan antara Julai 2019 dan Disember 2021 di 31 negeri Amerika dan Washington DC.
Kadar median kematian sebulan ialah 32.5 antara Julai dan Disember 2019. Ia meningkat kepada 68 sebulan berbanding tempoh sama pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 109 peratus.
“Langkah segera diperlukan untuk mencegah kematian akibat penggunaan dadah berlebihan dalam kalangan remaja,” kata CDC lagi.
Antara langkah itu, CDC menyenaraikan pengukuhan kempen pencegahan yang memberi amaran mengenai bahaya pil tiruan, tetapi juga menjadikan remaja lebih sedar mengenai kewujudan ujian untuk mengesan kehadiran fentanyl.
Ia juga mengesyorkan untuk mendidik golongan muda mengenai penawar naloxone, yang boleh menghalang kesan opiat dan diberikan sekiranya berlaku terlebih dos.
AFP