Malaysia, China komited perkukuh hubungan dua hala



KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membuat panggilan video dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, mesyuarat pertama antara kedua-dua pemimpin sejak beliau dilantik menyandang jawatan itu pada 3 Disember lalu.

Kementerian Luar menerusi kemas kini di akaun Twitter rasminya @Wisma Putra menyatakan dalam perbualan pada Rabu itu, kedua-dua pihak mahu penglibatan secara lebih konstruktif selain mempromosi dan meningkatkan hubungan antara penduduk kedua-dua negara.

Zambry dan Wang Yi juga mengakui hubungan dua hala yang lama terjalin dan bersejarah serta memberikan komitmen masing-masing untuk membawa hubungan itu ke tahap lebih tinggi bagi manfaat bersama kedua-dua negara dan kesejahteraan rakyat.

“Perbincangan mereka itu merintis laluan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala memandangkan kedua-dua negara menjurus ke arah memperingati ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun depan, serta ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024,” menurut kementerian menerusi Twitter.



Selain menyambut baik pertukaran lawatan peringkat tinggi, kedua-dua Menteri Luar itu turut membincangkan isu dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan serta kerjasama dalam isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker