Mbappe ulangi rekod 56 tahun Hurst

LONDON: Geoff Hurst mengucapkan tahniah kepada Kylian Mbappe selepas bintang sensasi Perancis itu menjadi pemain pertama meledak hatrik pada aksi final Piala Dunia sejak kali terakhir dilakukan legenda England berkenaan pada 1966.

Mbappe menjaringkan dua gol penting buat Perancis dalam tempoh masa sebenar permainan bagi membantu pasukan itu menyamakan kedudukan selepas ketinggalan dua gol di belakang Argentina, sebelum menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan.

Walaupun Argentina memenangi Piala Dunia kali ini menerusi penentuan sepakan penalti tetapi Mbappe mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi pemain pertama meledak hatrik pada aksi final sejak 1966.



Penyerang berusia 23 tahun itu juga menjadi pemain paling banyak menjaringkan gol di pentas final Piala Dunia selepas turut meledak satu gol ketika Perancis menewaskan Croatia 4-2 pada edisi 2018.

Hatrik Hurst menyaksikan England berjaya meraih satu-satunya kejuaraan Piala Dunia pada 1966 selepas The Three Lions menewaskan Jerman Barat 4-2 di London.

“Tahniah kepada Mbappe, apa jua yang berlaku saya sudah mengharungi perjalanan yang hebat,” tulis Hurst menerusi ciapan di Twitter miliknya.



Mbappe turut dinobatkan sebagai pemenang anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2022 selepas menjaringkan lapan gol, berkelebihan satu gol ke atas bintang sensasi Argentina, Lionel Messi yang merekodkan tujuh gol sepanjang kejohanan kali ini.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button