KJ direstui Anwar untuk lawan Zahid?
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Semakin menghampiri tahun 2023, semakin Umno mendapat perhatian pemerhati politik seluruh negara. Semua mata tertumpu kepada pemilihan Umno yang akan diadakan pada tahun hadapan.
KJ atau Khairy Jamaluddin tidak terlepas mendapat perhatian ramai pemerhati politik tanahair.
Baru berpindah Bahagian Umno dari Rembau ke Sg Buloh, kehadiran KJ mencetus fenomena baru kalangan ahli Umno Sg Buloh itu sendiri.
Ada yang secara terbuka menerima KJ dan ada yang masih sinis dengan keikhlasan beliau berpindah kawasan.
Namun demikian, ada satu perkara yang bermain di minda semua perwakilan Umno, adakah KJ akan bertanding sekali lagi jawatan Presiden?
KJ PERLU NYATAKAN PENDIRIAN SAMADA TANDING ATAU TIDAK
Jika beliau memilih untuk bertanding jawatan Presiden, siapa yang akan memberi sokongan kepadanya kali ini? Dalam Umno sendiri sudah tentu beliau akan mempunyai ‘mandat’ dari nama besar Umno. Tidak kurang juga KJ dijangkakan akan menerima sokongan dari ‘Kluster Broker’ yang telah sekian lama berusaha menjatuhkan Zahid.
Tetapi, jangan lupa sokongan dari luar Umno untuk KJ. Tidak mustahil akan ada sokongan luar yang memerlukan KJ untuk ‘dijinakkan’ dan sebagai ‘insurans’ politik jangka panjang.
Mungkin ada yang terfikir, Anwar akan memberi sokongan kepada KJ kalau memilih melawan Zahid. Secara teori politik, andai KJ berjaya mengalahkan Zahid, hampir pasti dasar Umno dengan pihak lain akan berubah.
Tidak mustahil untuk Umno menarik sokongan kepada Anwar dan beralih ke pihak lain sekiranya tawaran pihak lain lebih menarik dan ‘menguntungkan’ kedudukan Umno sekaligus menguatkan cengkaman Presiden Umno yang baru.
Bagi mengelakkan perkara ini berlaku dan mengulangi skrip 2018-2020 yang menyaksikan 3 Perdana Menteri bertukar dengan 3 polisi dasar kerajaan turut bertukar, Anwar perlu ada bantuan sokongan yang kuat.
Sekiranya KJ boleh ‘dijinakkan’ Anwar, maka tidak timbul masalah sekiranya beliau memenangi jawatan Presiden Umno dan jaminan sokongan Umno terhadap Anwar boleh dikekalkan.
OPPORTUNIS POLITIK AKAN BANTU KJ UNTUK MENANG
Bagi pemerhati politik, inilah masa sesuai melihat karektor sebenar KJ dalam seni politik yang serba tidak menjanjikan kemenangan setiap masa.
Perlu mengambil risiko untuk terus ‘bernafas’ dalam politik, KJ kena mengambil peluang yang ada bagi memastikan nama beliau sentiasa berada di kemuncak.
Penting bagi kalangan ahli politik memastikan nama masing-masing tidak hanyut apabila kalah Pilihanraya.
Kemungkinan KJ akan bertanding DUN Selangor tidak dapat ditolak kerana inilah ‘insurans’ buat beliau untuk terus kekal dalam arus perdana politik selepas tidak lagi bergelar Ahli Parlimen.
Tidak mustahil Anwar akan berbesar hati memberi laluan kepada KJ untuk satu kerusi DUN Selangor bagi mengekalkan sokongan buatnya.
Segalanya terpulang kepada KJ sendiri.
Penafian – *artikel ini hanyalah spekulasi yang diperkatakan di cafe politik menjelang pemilihan Umno akan datang*