Peminat Korea Selatan mahu Pan-gon pulang

Oleh – Syeikh Baran


Peminat Korea Selatan mahu Pan-gon pulang
PAN-GON dilapor menjadi sasaran peminat Korea Selatan yang mahu beliau pulang bagi mengemudi pasukan kebangsaan negara itu.

SKUAD Harimau Malaya kini dalam keadaan bahaya susulan tersingkirnya Korea Selatan selepas tewas mengejut kepada Jordan dalam aksi separuh akhir Piala Asia 2023 awal pagi semalam.

Situasi ini disebabkan desakan sebahagian besar peminat bola sepak negara itu menuntut Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) untuk melakukan rombakan dengan memanggil ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.



Sebagai rekod, Korea Selatan yang dikendalikan oleh Jurgen Klinsmann diletakkan harapan tinggi untuk menjulang trofi Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun.

Namun, Klinsmann yang dilantik pada Februari tahun lalu gagal memberikan impak yang diharapkan dengan pasukan tidak beraksi konsisten sepanjang kejohanan Piala Asia kali ini sekali gus berpotensi untuk dipecat dalam masa terdekat.

Portal taegukwarriors.com mendedahkan pengurusan KFA perlu dirombak dan melantik semula Pan-gon selain dua pemain bertaraf legenda, Lee Young-pyo dan Son Woong-jung.

Menerusi laman media sosial X, nama Pan-gon turut diseru untuk pulang dan kembali berkhidmat ke tanah air bagi pulihkan semula maruah bola sepak skuad Taeguk Warriors.



Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli mengakui ada kebimbangan mengenai masa depan Pan-gon dan bayangan tersebut boleh dilihat ketika pasukan berada di Doha lagi.

“Memang ada kebimbangan bila kita timbulkan isu ini. Sebenarnya bukan kekalahan Korea Selatan tetapi dia (Pan-gon) turut menunjukkan signal kecewa pada sidang media Piala Asia sewaktu tewas dua perlawanan awal lagi.

“Namun, bila kita berjaya ikat Korea Selatan, keputusan itu menaikkan semula semangatnya tetapi kita tidak tahu mengenai masa depan kerana siapa tidak mahu bekerja di negara kelahiran.

“Apa yang penting, kita perlu kekal positif kerana di peringkat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kita difahamkan Pan-gon ada kontrak sehingga 2025 dan harap dia boleh teruskan projek bersama Harimau Malaya,” katanya kepada Kosmo!



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button