Meninggal dunia lepas seminggu bertarung nyawa

Oleh – Syeikh Baran


Meninggal dunia lepas seminggu bertarung nyawa
KANAK-KANAK perempuan yang maut dalam nahas mengorbankan ibu bapanya di JRTB Gerik-Jeli Ahad lalu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang, Padang Rengas, semalam.

Selepas tujuh hari bertarung nyawa, kanak-kanak perempuan yang terlibat kemalangan bersama ibu bapa dan abangnya pada Ahad lalu, disahkan meninggal dunia, semalam.

Mangsa, Nur Arissa Sofia Kamizan berusia tiga tahun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada pukul 2.39 pagi.



Dalam kemalangan di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada 7 April lalu, ibu bapa Nur Arrisa, Kamizan Kasimon, 42, dan Noor Asmah Mat Zainal, 38, maut selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dinaiki enam sekeluarga.

Kejadian sekitar pukul 12.20 tengah itu, turut mengorbankan pemandu MPV, Aminuddin Othman, 54, yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping.

Sementara itu, sepupu kepada Noor Asmah, Nurhidayah Mohamad Azir, 34, berkata, anak saudaranya itu berada dalam keadaan kritikal susulan nahas tersebut dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu juga mengalami kegagalan paru-paru dan buah pinggang selain pendarahan otak dan patah kaki kanan.



“Jenazah Nur Arissa dikebumikan di antara kubur kedua ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang, di Padang Rengas semalam,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas keadaan abang Nur Arrisa yang kini dirawat di HRPB, Nurhidayah berkata, Muhammad Ammar, 10, akan menjalani satu lagi pembedahan pada tulang paha kiri dan kanan.

Katanya, buat masa ini, kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil dan sudah mula bercakap.

“Muhammad Ammar kini dipantau rapi dokor. Dia sudah memberi tindak balas positif dan bertanya di mana dia berada sekarang,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading