Cef hotel maut motosikal langgar kerbau

Oleh – Syeikh Baran


Cef hotel maut motosikal langgar kerbau
MANGSA maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau di Jalan Sungai Panching Timur di Kuantan hari ini.

Seorang cef sebuah hotel maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau di Jalan Sungai Panching Timur di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Firdaus Mohamad,28, dalam perjalanan dari arah Felda Panching Timur ke bandar Kuantan.



“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika sedang bergerak lurus tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZR-R15 telah melanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan kering.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button