Tiga warga Indonesia kantoi bawa balik beras, gula secara seludup
Oleh – Syeikh Baran
Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menahan tiga warga Indonesia kerana didapati membawa keluar beberapa bungkusan gula dan kampit beras dari sini.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, kesemua lelaki berusia 29 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.10 malam Sabtu lalu di perairan Tanjung Datu.
“Bertindak atas maklumat risikan, bot ronda Maritim Sarawak mengesan dan menahan kapal yang digunakan kesemua warga asing itu di kedudukan sekitar 4.2 batu nautika utara Sematan kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan barang kawalan berupa gula dan beras,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, katanya kesemua barangan itu termasuk kapal yang digunakan dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM300,000.
Kamal menambah kesemua kru dan bot berkenaan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1963 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sumber – KOSMO! ONLINE