Pemandu teksi ditahan cuba seludup 200 pek rokok

Hebahkan !!!

SUNGAI SIPUT: Pemandu teksi warga emas ditahan bersama lebih 200 pek rokok dipercayai diseludup dari Myanmar yang dibawa di dalam teksi dipandunya, ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Jaya Setia, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata warga emas, 73 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan menemui 200 kotak rokok yang setiap satu berisi 50 batang rokok jenis cerut dengan tulisan bahasa Myanmar, di samping 20 paket tembakau di bahagian bonet serta tempat duduk belakang teksi dipandunya.

Katanya, kesemua barangan terbabit didapati tiada label percukaian dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Suspek turut ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila gagal memberikan alasan munasabah mengenai tujuannya berada di luar rumah.

“Ketika ditahan, suspek memberikan alasan ingin menghantar makanan kepada pelanggan di Sungai Siput selain berkelakuan kasar terhadap anggota yang ditugaskan di sekatan jalan raya terbabit.

“Kita percaya, rokok ini untuk dipasarkan dalam kalangan warga asing sekitar daerah ini. Nilai rampasan dan hubungkait kegiatan suspek bersama sindiket penyeludupan masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, hari ini.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari, bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki hasil tembakau yang tidak bercukai.

“Suspek juga boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No.3) 2020. Teksi yang dipercayai kepunyaan suspek turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khaizam, berkata seramai 55 individu ditahan dengan 25 kertas siasatan dibuka atas pelbagai jenis kesalahan melanggar PKP, bermula sejak hari pertama penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 35 tangkapan telah dituduh di mahkamah.

KETUA Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin (dua dari kiri) menunjukkan rokok yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, hari ini. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
KETUA Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin (dua dari kiri) menunjukkan rokok yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, hari ini. – Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Leave a Reply

%d bloggers like this: