Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA mengenai Isu Kewarganegaraan

KENYATAAN MEDIA KETUA PEMUDA MCA MENGENAI ISU KEWARGANEGARAAN

Pemuda MCA memandang berat mengenai isu kad pengenalan palsu dan isu permohonan kewarganegaraan dengan cara meragukan yang diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Dalam isu ini, Pemuda MCA mendapati kebimbangan rakyat mengenai perkara tersebut adalah berasas dan memerlukan perhatian serta tindakan segera dari pihak Kerajaan.

Oleh itu, Pemuda MCA ingin mendesak agar pihak kerajaan menanggguhkan sementara proses permohonan kewarganegaraan bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dilakukan untuk mengetahui segala kelemahan yang ada sehingga masih ada kegiatan pengeluaran kad pengenalan palsu dan tulen tanpa mengikut proses sebenar.



Pemuda MCA menyedari bahawa beberapa tangkapan dan proses pendakwaan telah dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum ini, namun ia belum dapat meredakan kebimbangan rakyat yang khuatir sama ada masih wujud sindiket yang sama, namun belum lagi terbongkar.

Sebagai warganegara, Pemuda MCA berharap kerajaan tidak berkompromi untuk mengenakan sebarang tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk kakitangan awam yang terlibat dalam sindiket pengeluaran kad pengenalan secara haram ini.

Sehubungan ini juga, Pemuda MCA turut mendesak agar pihak Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri melakukan operasi besar-besaran selepas berakhirnya penularan Covid-19 untuk menangkap pelancong asing yang tinggal melebihi tempoh masa yang ditetapkan selain mengusir pendatang asing tanpa izin demi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Usaha ini pastinya mendapat sokongan kuat daripada rakyat yang bimbang tentang nasib Negara mereka.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button