Polis tahan 40 ahli sindiket jenayah terancang seludup pendatang asing


JOHOR BAHRU, 8 Jun — Polis Johor berjaya menahan 40 ahli kumpulan sindiket jenayah terancang yang terlibat kegiatan penyeludupan keluar masuk pendatang asing menerusi Ops Benteng sejak Khamis lepas di beberapa lokasi di negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Johor dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) serta Bahagian Siasatan Jenayah Terancang Risikan/Operasi/Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Bukit Aman.

Beliau berkata yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki tempatan, seorang wanita permastautin tetap dan 19 lelaki warga Indonesia berumur 22 hingga 58 tahun, dengan tiga daripadanya merupakan agen sindiket penyeludupan, ‘transporter’ (10), tekong darat (15) dan penjaga rumah transit (12).

“Turut dirampas termasuk 16 buah kereta, sebuah van, lapan buah bot fiber serta 114 buah telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.



Beliau berkata kumpulan ini dipercayai telah bergiat aktif melakukan kegiatan mereka di sekitar pesisiran pantai timur Johor sejak tahun 2014 lalu dan menguruskan 500 hingga 600 pendatang asing sebulan dengan bayaran RM1,200 hingga RM1,400 tiap seorang.

Ayob Khan berkata kesemua yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 130V Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dengan mengguna pakai Prosedur Siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 Sosma.

Katanya tangkapan berkenaan diletakkan di bawah jenayah terancang kerana kumpulan ini menggunakan enam elemen yang ‘wajib’ ada dan saling berkait rapat antaranya ketua sindiket, agen atau pengurus, transporter, tekong darat, penjaga rumah penampungan dan juga tekong laut.

“Kumpulan ini memfokuskan aktiviti penyeludupan di pesisiran pantai timur Johor bermula dari Batam, Indonesia dan kemudiannya Tiram (Johor Bahru), Sungai Rengit (Pontian), Punggai (Kota Tinggi), Bandar Penawar (Kota Tinggi), Sedili (Kota Tinggi) hingga ke Tenggaroh (Mersing) yang mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan.



“Menerusi tangkapan ini, menurut perisikan kita, hampir 95 peratus ahli sindiket yang berada di kawasan pesisiran pantai timur telah berjaya ditangkap dan siasatan akan terus dilakukan bagi mengesan saki baki ahli dan mungkin selepas ini kita akan fokus pada pantai barat Johor pula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan pihak Indonesia untuk mengesan ketua sindiket yang dipercayai berada di Batam Indonesia sebagai usaha melumpuhkan kegiatan sindiket itu.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button