KPM tidak pernah enggan layan guru memberikan pandangan

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menegaskan tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana guru untuk menyuarakan pandangan terhadap apa jua perkara, termasuk kelemahan dalam sistem pendidikan.

Sebaliknya, beliau memilih menggunakan kaedah libat urus secara langsung dengan guru untuk mengetahui masalah dan cabaran dihadapi di peringkat sekolah, bagi membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

Katanya, banyak inisiatif sepanjang beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan diputuskan selepas mendengar aduan daripada guru secara langsung, termasuk isu beg berat dan pengambilan khas lebih 16,000 guru baharu secara ‘one-off’ sebelum ini.



“Dalam mana-mana sesi perjumpaan dan dialog dengan guru, tidak ada sekali pun saya tutup ruang untuk guru beri pandangan, sebaliknya banyak penambahbaikan dibuat berdasarkan pandangan guru.

“Dalam isu beg berat, guru kanan pentadbiran maklumkan antara cabaran adalah untuk menyusun semula jadual kerana ada yang perlu susun jadual untuk seluruh sekolah secara manual.

“Daripada maklumat ini, KPM putuskan inisiatif dan kita sedang bangunkan aplikasi untuk sediakan jadual waktu. Selepas ini, sistem yang akan hasilkan jadual.

“Sebab itu, ada banyak transformasi yang kita laksanakan hasil perbincangan dan maklum balas daripada guru, pentadbir dan ibu bapa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif ‘Reading Progress’ Di Sekolah KPM di sini, hari ini.



Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh bahawa pandangan guru diremeh pegawai KPM apabila menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan sistem pendidikan negara melalui saluran yang betul.

Ditanya mengenai keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap Mohd Fadli, Radzi memaklumkan beliau tidak terbabit dengan proses berkenaan dan keputusan lembaga itu akan dihantar kepada guru Matematik berkenaan melalui ketua jabatan.

Bagaimanapun, beliau yakin Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan akan membuat keputusan secara profesional berdasarkan segala maklumat diterima, termasuk representasi daripada Mohd Fadli.

“Dalam soal tindakan tatatertib, akan ada laporan diproses yang dilaksanakan oleh penjawat awam. Saya tidak boleh campur proses ini, dan hanya boleh pastikan semua pihak laksanakan tugas secara profesional.



“Saya percaya Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan akan buat keputusan secara profesional berdasarkan apa jua penilaian yang dilaksanakan,” katanya.

Semalam, Radzi memaklumkan keputusan tata tertib membabitkan Mohd Fadli yang bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia menerusi media sosial, akan diketahui hari ini.

Ia selepas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang semalam selepas menerima surat representasi yang dikemukakan Mohd Fadli Jumaat lalu.

© Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button