Wallace persiapkan pasukan hadapi Piala Remaja Asia

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Sukan Olimpik Belia 2022 (YOG) mungkin telah tangguhkan, namun ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki kebangsaan Wallace Tan, mempunyai sasaran lain iaitu mempersiapkan pemainnya bagi menghadapi Piala Remaja Asia 2021.

Wallace sememangnya menantikan YOG selepas berjaya membawa pasukan bimbingannya buat pertama kalinya meraih pingat emas dalam acara lima sebelah pada edisi 2018 di Buenos Aires, Argentina.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Senegal semalam, mengumumkan YOG 2022 yang dijadualkan berlansung di Dakar, ditanggukan ke 2026 akibat pandemik COVID-19 dan penangguhan Sukan Olimpik 2020.

Kini, Wallace mahu melatih pemainnya untuk Piala Remaja Asia, walaupun Persekutuan Hoki Asia (AHF) belum menetapkan tarikh baharu kejohanan itu, yang sepatutnya berlangsung 4-12 Jun di Dhaka, Bangladesh sebelum ditangguhkan juga akibat pandemik COVID-19.



Dengan hanya empat slot bagi kelayakan ke Piala Dunia Remaja 2021, Wallace tahu Malaysia perlu sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir di kejohanan itu, walaupun akan menghadapi cabaran daripada musuh tradisi, iaitu India, Jepun, Korea Selatan dan Pakistan.

“(Walaupun YOG ditunda, tapi) prosesnya tetap berjalan… buat masa ini kami akan bersedia bagi hadapi Piala Remaja Asia, yang merupakan kelayakan ke Piala Dunia Remaja.

“Kami mahu mencapai sasaran empat pasukan terbaik seperti yang ditetapkan KHM (Konfiderasi Hoki Malaysia). Kita kini mempunyai lebih masa mempersiapkan pasukan yang mantap. Cuma kita tidak tahu bila (atau dimana) ia (Piala Remaja Asia) akan diadakan,” katanya kepada pemberita selepas latihan pasukan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Wallace tentunya mempunyai masa yang lebih panjang, memandangkan Piala Sultan Johor tahun ini, dijadualkan pada Oktober 2020 turut dibatalkan, di samping acara hoki tidak tersenarai sebagai acara dipertandingkan pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021.



Sementara itu Wallace memuji inisiatif  ‘Projek 2026’ MHC yang menyasarkan pingat emas Sukan Asia di Nagoya, Jepun.

“Ia suatu yang baik untuk ada program jangka panjang seperti ini. Ada sasaran untuk dicapai, jadi kita boleh menyediakan pasukan dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button