10 polis ditahan, RM100,000 dirampas

Hebahkan !!!


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta merampas wang tunai RM100,000, berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam.

Empat pegawai kanan terbabit masing-masing seorang berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Superintendan, Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan serta dua anggota berpangkat Lans Koperal ditahan sejak petang semalam hingga tengah hari tadi, manakala empat lagi ditahan petang tadi.

Semua anggota terbabit bertugas di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor.

Menurut sumber, pegawai berpangkat ACP itu bagaimanapun sudah dibebaskan selepas keterangannya direkodkan, namun seorang lagi pegawai berpangkat Superintendan direman semalam untuk membantu siasatan.

“Ketika proses tangkapan dilakukan, pihak SPRM turut merampas wang tunai RM100,000 dari kediaman seorang daripada pegawai yang ditahan.

“Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka menerima ‘habuan’ lumayan daripada seorang lelaki berpangkat Datuk yang ditahan dan direman Sabtu lalu, bagi melindungi aktiviti judi dalam talian tempatan dan Macau Scam yang mensasarkan mangsa di China,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pihak SPRM masih mengesan baki sebahagian lagi pegawai dan anggota polis yang bertugas di peringkat Bukit Aman, Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur serta beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membantu siasatan.

“Tindakan tangkapan dilakukan ini berdasarkan maklumat dan keterangan diperoleh daripada lapan suspek awal yang ditahan termasuk seorang lelaki bergelar Datuk yang menguruskan dan mengendalikan pembayaran bagi melindungi kegiatan judi dalam talian dan Macau Scam yang kemudian ‘mencuci wang’ berkenaan dengan melaburkannya dalam perniagaan membabitkan selebriti serta usahawan kosmetik,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penahanan dua pegawai kanan daripada JSJ Bukit Aman yang dipercayai ada kaitan dengan pengubahan wang haram membabitkan selebriti tanah air.

“Kes kini disiasat SPRM dan mereka tidak memaklumkan maklumat terperinci mengenai penahanan itu, namun kami turut membuat siasatan dalaman mengenai perkara ini.

“Kita (PDRM) juga menerusi Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya akan membuat siasatan sejauh mana pembabitan pegawai dalam isu ini,” katanya.

Sebelum ini, SPRM membekukan 750 akaun dengan simpanan kira-kira RM75 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram, termasuk membabitkan selebriti dan usahawan kosmetik.

SPRM juga turut menyita 24 kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi milik beberapa daripada individu ditahan.

BH sebelum ini memetik sumber SPRM berkata, suruhanjaya itu juga menyita kediaman mewah milik pasangan suami isteri yang ditahan Jumaat lalu dan seorang suspek lain yang ditahan bersama-sama mereka.

Dalam pendedahan sebelum ini, BH melaporkan, dalang utama sindiket berkenaan dipercayai rakyat China, tetapi menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform membersihkan wang hasil penipuan.

Ejen sindiket akan mendekati selebriti tanah air dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk selebriti berkenaan memulakan perniagaan.

Susulan itu, seorang selebriti bersama isterinya yang juga seorang artis serta seorang usahawan kosmetik dipanggil oleh SPRM membantu siasatan berhubung pengubahan wang haram.

Difahamkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejayaan dalam operasi itu esok.

Leave a Reply

%d bloggers like this: