PESAWAH MAUT TERTIARAP DALAM SAWAH

Tumpat: Pesawah ditemui meninggal dunia dipercayai lemas dalam bendang padi di Kampung Cherang Melintang di sini, 8 malam tadi.

Muhammad Syawaluddin Sulaiman, 21, ditemui penduduk kampung yang membantu mencarinya selepas tidak pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, mangsa ditemui di tepi beting sawah dalam keadaan tertiarap dengan mesin racun yang masih hidup enjinnya.

“Mangsa dikatakan ke bendang terletak 500 meter dari rumahnya dan biasanya pulang sebelum 7 malam. Namun, semalam dia gagal dihubungi menyebabkan ahli keluarga dibantu penduduk kampung mencarinya.

“Mangsa lengkap berpakaian ketika ditemui dan pemeriksaan tidak menemui kesan kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, kematian Muhammad Syawaluddin mungkin disebabkan lemas, namun bedah siasat dilakukan di Hospital Tumpat untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut.

Dalam pada itu, seorang ahli keluarga arwah yang enggan dikenali berkata, arwah mengusahakan sawah padi peninggalan bapanya dan biasanya keluar selepas Asar dan pulang sebelum Maghrib.

“Bagaimanapun selepas Maghrib, dia tidak pulang menyebabkan ahli keluarga dan rakan keluar mencarinya.

“Dia menghidap asma sejak kecil dan kami syak dia sesak nafas selepas terhidu bau bahan kimia ketika mahu meracun tanaman itu,” katanya.

Hmetro

Leave a Reply