Majoriti rakyat Singapura tidak berperasaan negatif terhadap warga asing

SINGAPURA, 10 Okt  — Tinjauan REACH di Singapura mendapati majoriti rakyat republik itu yang memberi maklum balas dalam tinjauan berkenaan  sama ada bersikap neutral atau positif terhadap warga asing atau bukan warganegara di negara itu.

REACH adalah  sebuah unit maklum balas dan libat urus nasional di bawah Kementerian Komunikasi dan Penerangan republik itu dengan misi untuk memudah cara maklum balas antara rakyat dengan kerajaan.

Dalam satu kenyatan hari ini, REACH berkata tinjauan itu mendapati hampir separuh atau 49 peratus responden adalah neutral sementara 35 peratus sama ada amat positif atau positif  terhadap warga asing di Singapura.

Sentimen negatif adalah rendah kerana hanya  14 peratus daripada responden sama ada berpandangan   amat negatif atau negatif terhadap warga asing di Singapura.



Menurut REACH, tinjauan melalui telefon dijalankan dalam kalangaan 2,100 rakyat Singapura yang dipilih secara rawak  berumur 15 tahun dan ke atas dari 11 hingga 21 Ogos , 2020 dan tinjauan dalam talian dalam kalangan 1,050 rakyat Singapura berusia 15 tahun ke atas dipilih secara rawak dari 21 hingga 24 Ogos, 2020.

Tinjauan itu juga mendedahkan responden yang menganggur lebih cenderung untuk berpandangan negatif terhadap warga asing dan kebimbangan berkaitan pekerjaan mengenai warga asing juga lebih banyak disebut dalam kalangan penganggur.

Hampir separuh atau 47 peratus daripada responden tidak menyatakan sebarang kebimbangan mengenai warga asing tetapi 23 peratus menyatakan kebimbangan berkaitan pekerjaan dan 16 peratus memandang berat tabiat warga asing seperti persepsi mengenai kebersihan dan bercakap dengan kuat.

Sementara itu REACH berkata secara umumnya rakyat Singapura bersetuju kepentingan republik itu terbuka terhadap warga asing.



Ini selepas tinjauan menunjukkan majoriti responden atau 63 peratus daripada mereka amat bersetuju atau bersetuju adalah penting untuk Singapura kekal terbuka kepada warga asing, 25 peratus berpendirian neutral terhadap soalan tu sementara hanya 10 peratus amat tidak bersetuju atau tidak bersetuju dengan kenyataan itu, katanya.

REACH berkata responden yang menganggur lebih cenderung untuk berpendirian neutral terhadap kepentingan Singapura kekal terbuka kepada warga asing.

Lapan puluh satu peratus daripada responden juga bersetuju kebaikan Singapura menjadi hab serantau kerana ia mampu memberikan peluang pekerjaan untuk rakyat republik itu biarpun sejumlah pekerjaan akan diambil oleh warga asing.

Bakinya, 19 peratus lagi merasakan adalah lebih baik Singapura tidak menjadi hab serantau sebagai langkah mengurangkan jumlah pendatang asing biarpun jika ia bermakna peluang pekerjaan yang berkurangan bagi warganegaranya sendiri.



Pengerusi REACH Tan Kiat How yang juga Menteri Negara di Jabatan Perdana Menteri: “Dalam tempoh sukar ini, rakyat Singapura sememangnya risau terhadap jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya.

Kerajaan kekal komited untuk membantu rakyat Singapura mengekalkan pekerjaan mereka atau mencari kerja baharu. Bagaimanapun, agak melegakan kebanyakan rakyat memahami keperluan Singapura untuk kekal terbuka kepada bakat global.”

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button