Korea Utara tayang peluru berpandu baharu

Gambar peluru berpandu balistik antara benua ketika perarakan tentera sempena ulang tahun penubuhan Parti Pekerja Ke-75 Korea Utara di Pyongyang, diambil daripada siaran Korean Central Television (KCNA). -  FOTO AFP/KCNA
Gambar peluru berpandu balistik antara benua ketika perarakan tentera sempena ulang tahun penubuhan Parti Pekerja Ke-75 Korea Utara di Pyongyang, diambil daripada siaran Korean Central Television (KCNA). – FOTO AFP/KCNA

SEOUL: Korea Utara menayangkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang baharu, ketika perarakan tentera sempena ulang tahun penubuhan Parti Pekerja ke-75 di Pyongyang, semalam.

Ketika perarakan itu, negara komunis berkenaan turut mempamerkan peluru berpandu balistik kapal selam (SLBM) jenis baharu yang dilabel Pukguksong-4, menurut laporan agensi berita Yonhap berdasarkan siaran Korean Central Television.

ICBM baharu itu dibawa di atas pengangkut pelancar bergerak (TEL) dengan 22 roda, menunjukkan ia lebih panjang daripada Hwasong-15 yang dibawa dengan TEL 18 roda. Menurut pihak berkuasa dan pakar, peluru berpandu lebih panjang dipercayai mampu terbang lebih jauh.

Hwasong-15 dijangka mampu terbang sejauh 12,874 kilometer (km), juga dikatakan mempunyai kemampuan menyerang mana-mana bahagian Amerika Syarikat (AS).

Rejim pemerintah Korea Utara turut memiliki tambahan dua jenis ICBM, Hwasong-13 yang mampu terbang sejauh 5,500 km, dan Hwasong-14 dengan anggaran 10,058 km, yang berpotensi sampai ke sebahagian besar AS.

Apa yang menarik tumpuan adalah sama ada ICBM baharu milik Korea Utara itu boleh membawa sejumlah kepala peledak, memandangkan negara itu berusaha membangunkan peluru berpandu yang sukar dipintas.

“Lebih banyak analisis diperlukan untuk mengetahui kemampuan sebenar ICBM baharu itu. Ia mungkin penambahbaikan daripada Hwasong-15 atau Hwasong-16,” kata seorang pegawai Ketua Turus Staf (JCS) Korea Selatan.

SLBM Pukguksong-4 pula dilihat lebih besar daripada model sebelumnya, Pukguksong-3, yang sebelum ini terbabit dalam ujian senjata Korea Utara pada Oktober tahun lalu.

Pukguksong-3 dikategorikan sebagai peluru berpandu jarak sederhana dan dianggap sebagai penambahbaikan daripada model Pukguksong-1.

Menurut JCS, ketika ujian pada Oktober tahun lalu, peluru berpandu itu terbang sejauh kira-kira 450 km pada altitud maksimum sekitar 910 km.

Model baharu itu pula dijangka boleh dimuatkan dalam kapal selam baharu yang dibina di pangkalan tentera laut Korea Utara di Sinpo. Kapal selam baharu itu dipercayai seberat 3,000 tan dan berupaya membawa tiga hingga empat SLBM.

Pada perarakan berkenaan, Korea Utara turut mempamerkan peluru berpandu jarak pendek seperti Iskander milik Rusia, dan pelancar roket berganda bersaiz besar, yang pernah diuji beberapa kali sejak 2019.

Bagaimanapun, Korea Utara tidak melaksanakan ujian senjata utama sempena ulang tahun parti kali ini, dalam pertimbangannya terhadap hubungan dengan AS menjelang pilihan raya negara itu bulan depan. – AGENSI

Leave a Reply