Rakyat semakin resah

SHAH ALAM – Pelbagai isu membelenggu rakyat Malaysia sepanjang Oktober ini pastinya menimbulkan keresahan kerana melibatkan soal keselamatan dan ekonomi mereka.

Berdasarkan kes semasa, penularan pandemik koronavirus (Covid-19) merekodkan angka tertinggi semalam iaitu 871 kes dan 869 kes dicatatkan kelmarin.

Terbaru, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapati jumlah kehilangan pekerjaan akibat Covid-19 meningkat kepada 2.4 juta, manakala 35 peratus yang bekerja sendiri mendakwa hilang pendapatan sehingga sebanyak 90 peratus.



Dalam masa yang sama, turut menyaksikan senario pergolakan politik apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu selain isu antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pakar epidemiologi daripada Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud menjangkakan, kes jangkitan Covid-19 terus mencatatkan peningkatan sehingga penghujung tahun ini jika Kementerian kesihatan (KKM) gagal menangani secara habis-habisan terutama di Sabah.

Beliau berkata, selain peningkatan jumlah kes harian tertinggi dicatatkan semalam iaitu sebanyak 871 kes, terdapat dua lagi faktor yang menyumbang kepada pertambahan kes iaitu kegagalan mengesan unlink cases iaitu kes yang tiada kluster di Sabah serta kekurangan kemudahan di hospital di negeri itu.

Jelasnya, kes Covid-19 yang tiada kluster itu amat membimbangkan kerana penularannya dalam komuniti di Sabah sangat besar.



“Jika kes Covid-19 yang mempunyai kluster, pengesanan dapat dibuat dengan lebih cepat termasuk penumpuan untuk menanganinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, peratusan jumlah kes positif Covid-19 yang dicatatkan positif di Sabah kini adalah tiga kali ganda berbanding kes Covid-19 di Semenanjung.

Beliau berkata, berbeza dengan kes-kes Covid-19 di Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan walaupun setiap hari mencatatkan peningkatan ia masih boleh ditangani.

“Saya jangkakan, kes di ketiga-tiga lokasi itu boleh mencatatkan penurunan kes dalam tempoh empat ke enam minggu berbanding kes di Sabah,” katanya.



Miskin relatif

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Dr Nor Azira Ayob berkata, kemiskinan relatif mencatatkan 5.6 peratus yang mana jumlah pendapatan isi rumah kurang daripada 50 peratus pendapatan bulanan.

“Individu dalam kategori miskin relatif, bukan miskin secara total tetapi mereka tidak boleh terlalu berbelanja atau melakukan sesuatu perkara seperti sebelum Covid-19 berlaku,” katanya.

Beliau mengulas kesan Covid-19 kepada sistem perlindungan sosial di Malaysia yang dikeluarkan KWSP.



Nor Azira juga bersetuju dengan data yang dikeluarkan KWSP setelah melihat jumlah pengangguran yang semakin meningkat daripada 3.3 peratus pada tahun 2019 kepada 4.7 peratus pada 2020 kesan penularan Covid-19.

Katanya, pendapatan isi rumah juga berkurang apabila terdapat segelintir rakyat Malaysia yang terpaksa bekerja dengan pendapatan yang dikurangkan oleh majikan.

Berunding

Sementara penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu kembali ke meja rundingan bersama rakan kerjasama politik bagi memastikan kerajaan PN kekal.



“Mahu atau tidak, syarat baharu yang diletakkan UMNO itu perlu dipertimbangkan dan penyelesaian di meja rundingan perlu berlaku.

“Pada pandangan saya, UMNO telah berkorban banyak perkara dan sudah pasti mereka merasakan berhak kerana parti itu ada ahli Parlimen paling banyak berbanding yang lain dalam PN,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Muhyiddin lambat bertindak, besar kemungkinan pertukaran kerajaan berlaku sekali lagi.

Pergolakan politik yang berlaku juga katanya, turut membingungkan rakyat.



Sinar-

Pengambilalihan Saham:- Adakah FGV Akan Senasib Dengan DRB HICOM?

Pengambilalihan Saham:- Adakah FGV Akan Senasib Dengan DRB HICOM?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button