Agong, Raja-Raja Melayu akan buat keputusan terbaik untuk rakyat – Mahdzir

Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA NERANG, 24 Okt  — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu akan membuat keputusan terbaik berhubung situasi semasa negara demi kepentingan seluruh rakyat.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sehubungan itu semua pihak dinasihatkan supaya menyerahkan kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah serta Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja untuk berunding dan mengendalikan isu yang timbul.

“Sebagai pemimpin politik dan rakyat, saya sedar Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kebijaksanaan dan berkemampuan membuat satu keputusan yang akhirnya boleh diterima oleh rakyat secara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Rumah ‘Baiti Jannati’ TNB di Kampung Semeliang dekat sini, hari ini.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini menyebut Al-Sultan Abdullah akan berunding dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya semalam.



Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata TNB sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan pelanggan komersial yang berhadapan dengan masalah untuk menyelesaikan tunggakan bil premis mereka.

Beliau berkata pertimbangan boleh diberikan kepada pengguna, terutamanya bagi perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Ada yang datang ke TNB untuk membuat bayaran secara ansuran, kita benarkan sebab kita sedar dalam kalangan mereka juga menghadapi masalah perniagaan, jadi kita ambil tanggungjawab untuk membantu,” katanya.



Terdahulu, Mahdzir menyerahkan kunci rumah baharu bernilai RM50,000 kepada keluarga Hassan Ismail yang merupakan golongan kurang kemampuan menerusi inisiatif di bawah program khidmat masyarakat TNB.




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading