Susu Program RMT bakal disediakan setiap hari di sekolah

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Bekalan susu dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan disediakan setiap hari persekolahan berbanding dua kali seminggu ketika ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Tengku Zafrul berkata ini bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh.

Beliau berkata penambahbaikan program RMT itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM420 juta dan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

Katanya, bagi belanjawan kali ini, Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan kerana pendidikan merupakan pelaburan yang paling penting dalam memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Bagi memastikan suasana pembelajaran kondusif, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM800 juta disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan termasuk menaik taraf serta membina dewan terbuka atau struktur berbumbung untuk perhimpunan sekolah.

“Selain itu, kos tambahan sebanyak RM725 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 sekolah daif. Bagi memperkasa pendidikan khas pula, RM45 juta akan disediakan untuk kebajikan murid berkeperluan khas,” katanya.

Beliau berkata bagi sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak, kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM120 juta.

Menyentuh mengenai peringkat pengajian tinggi, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM14.4 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi termasuk RM50 juta untuk membaik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti-universiti awam.

Menurutnya, sebanyak RM50 juta pula disediakan untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research and Education Network (MYREN) kepada 500Mbps hingga 10Gbps bagi memastikan kesalinghubungan Internet di institut pengajian tinggi (IPT).

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional dalam pembiayaan skim pinjaman komputer riba melibatkan RM100 juta bagi memastikan pelajar IPT yang mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Beliau menambah, pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional akan dilanjutkan sehingga 2022 bagi terus menggalakkan ibu bapa membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak mereka.

Tengku Zafrul berkata sebanyak RM6 bilion diperuntuk untuk memperkasakan bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain pelbagai inisiatif antaranya menyediakan pinjaman kepada 24,000 peserta program TVET di institut kemahiran awam dan swasta dan peningkatan elaun bulanan kepada RM1,000 kepada peserta Sistem Latihan Dual Nasional Plus.

Leave a Reply

%d bloggers like this: