Bukan halau tapi arah beredar untuk keselamatan

Johor Bahru: Pasukan Polis Singapura (SPF) menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Ahad lalu.

Memetik laporan Berita Harian Singapura, SPF dilaporkan berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Lim Chu Kang.

SPF berkata, pada Ahad lalu kira-kira 4 petang, sebuah bot PCG sedang meronda di perairan republik itu sebelum mengesan sekumpulan bot nelayan Malaysia masuk dan keluar dari kawasan tembakan peluru hidup di Lim Chu Kang.



“Berikutan sebarang kapal atau bot tidak dibenarkan memasuki kawasan tembakan itu, PCG mendekati bot nelayan Malaysia dan menggunakan sistem suara PCG untuk menasihati mereka supaya meninggalkan kawasan itu demi keselamatan mereka sendiri.

“Kira-kira jam 5.30 petang, beberapa kapal nelayan Malaysia menghampiri PCG dan anak kapal mereka, sambil melahirkan rasa tidak puas hati apabila diminta meninggalkan kawasan itu.

“Pegawai kami menjelaskan bahawa kapal yang tidak dibenarkan dilarang memasuki kawasan itu dan meminta mereka keluar demi keselamatan mereka sendiri.

“Selepas berbalas lisan, bot nelayan Malaysia kembali ke perairan Malaysia kira-kira 5.37 petang. Kami ingin menegaskan kejadian ini juga berlaku sepenuhnya di perairan wilayah Singapura bukan Malaysia,” kata SPF seperti dilaporkan Berita Harian Singapura.



Kelmarin, NSTP melaporkan sekumpulan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di sini, petang Ahad lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila mereka dihalau menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa negara jiran itu menggunakan kata-kata kesat, walaupun masing-masing berada dalam perairan negara.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang melakukan siasatan terhadap insiden membabitkan kumpulan nelayan Malaysia dan PCG Singapura yang berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura, petang semalam.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, dilaporkan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.



METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading