Saman fitnah: Mahkamah tangguh keputusan rayuan NFCorp, Mohamad Salleh

03/12/2020 09:04 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis — Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan kes saman fitnah oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail terhadap Nurul Izzah Anwar dan PKR.

Rayuan tersebut didengar selama dua jam melalui aplikasi Zoom di hadapan panel tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal sebelum keputusan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.



Perkara itu disahkan oleh peguam Nurul Izzah, Razlan Hadri Zulkifli.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili NFCorp dan Mohamad Salleh, selaku perayu.

Pada 8 Mac 2018, NFCorp dan Mohamad Salleh mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah.

Pada 24 Dis, 2013, NFCorp dan Mohamad Salleh memfailkan saman terhadap Nurul Izzah, ketika itu Ahli Parlimen Lembah Pantai dan setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berhubung satu kenyataan mendakwa Mohamed Salleh membeli lapan unit kondominium di KL Eco City.



Mereka mendakwa Nurul Izzah, kini Ahli Parlimen Permatang Pauh, membuat kenyataan memfitnah itu dalam siaran Malaysiakini TV pada 7 Mac, 2012.

Pada 4 Mac, 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah tersebut selepas memutuskan kenyataan apabila dibaca secara menyeluruh tidak bersifat memfitnah terhadap NFCorp dan Mohamad Salleh.

Pada 10 Julai, 2017, Mahkamah Rayuan menolak permohonan perayu tersebut.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Shafee memohon mahkamah membenarkan rayuan itu dengan alasan Mahkamah Rayuan gagal memahami terdapat lebih daripada satu penghinaan ditemukan dalam kenyataan menyeluruh yang dipersoalkan itu yang memfitnah perayu.



Beliau berkata panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah menyalahtafsirkan dalam analisis dan memutuskan hanya sebilangan kenyataan fitnah itu relevan dengan perayu.

Razlan Hadri membantah dengan berkata bahawa itu adalah prinsip undang-undang sama dalam memutuskan defendan memfitnah plaintif, mahkamah mesti melihat kenyataan itu secara menyeluruh dan tidak hanya memnumpukan terhadap bahagian kenyataan yang didakwa fitnah oleh perayu.

Beliau berkata rayuan tersebut perlu ditolak kerana kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan dapatan fakta bahawa kenyataan yang dipertikaikan perlu dibaca secara menyeluruh dan tidak memfitnah perayu.

AWAL ASHAARI DISAMAN RM3 JUTA ATAS DAKWAAN MEMFITNAH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button